Showing posts with label Luahan Hati. Show all posts
Showing posts with label Luahan Hati. Show all posts

Friday, 20 November 2009

Memori Nuqaba' Senior KMS...

Masa menghitung usia yang berbaki di Kolej MARA Seremban. Sedar tak sedar, sudah semester ketiga rupanya kami di batch 9 A-level. Alhamdulillah...banyak kenangan memugar tinta pengalaman yang masih cetek. Pahit atau manis, kehidupan bersama sahabat menceriakan lagi suasana, melata di bumi TUHAN. Entah bila lagi kenangan itu akan dapat diulang kembali...

Sedikit masa lagi, pelajar-pelajar fast track akan berlepas ke destinasi pengajian, Australia atau New Zealand. Di antara mereka, adalah para-para du'ah yang turut sama berjuang di medan dakwah. ALLAH, rasa sedikit hiba mengenang perpisahan yang bakal menjelma. Namun aku akur, setiap pertemuan menjanjikan perpisahan, dan setiap perpisahan pasti mengemis sedikit rembasan air mata. Bezanya, titik pertemuan ini adalah kerana kita berada di landasan yang sama, dan insyaALLAH selagi nafas masih mampu dihela, perjuangan akan diteruskan. Kata Imam Hassan al-Banna, tiada kerehatan bagi seorang pejuang melainkan mati.

Kata Ustaz Sofi, tujuh golongan yang yang mendapat perlindungan arasy TUHAN di hari kiamat nanti, antaranya ialah dua remaja yang bersahabat, bertemu keranaNYA, berpisah pun keranaNYA. Teringat hadith ini ketika aku masih di tingkatan 4, Ustaz Turijan beria-ia menerangkan di hadapan kelas untuk subjek Hadith. Cuma aku yang masih berjiwa remaja ketika itu, tersengguk-sengguk menahan beratnya kelopak mata gara-gara lambat lena malam itu. Hm...kini terasa juga benarnya ungkapan itu, insyaALLAH. Mungkin kami berlainan benua, diteduh langit yang lain, berpijak di bumi yang lain, namun semua berpijak atas medan dakwah yang sama.

Memori ini akan terus segar di ingatan, sesegar nailofar menguntum senyuman dari kejauhan mentari Malaya...

Kenangan bersama para nuqaba'...

Belakang dari kiri: Akh Rahimi, Akh Azman, Akh Muhammad, Akh Abdul Qadir, Akh Khairullah, Akh Harith.
Tengah dari kiri: Akh Amjad, Akh Khairul Safwan, Ana, Akh Siddiq, Akh Faiz, Akh Hanifi
Depan Dari kiri: Akh Fikri, Akh Izzat, Akh Nik

Dedikasi ini khusus untuk bakal-bakal mahasiswa luar negara...akh Nik, akh Faiz, akh Hanifi, Akh Amjad, Akh Muhammad, serta semua para sahabat yang bakal berlepas tahun hadapan. Semoga perjalanan di sana lebih dirahmati ALLAH...




Jalinan antara kita terbina persis untaian tasbih,
Ada awal tiada penghujung,
Dibentuk untuk menginngatiNYA,
Dicantum kerana cintaNYA,
Diratib semata-mata kerana redhaNYA,
Menitis air mata tika merasa kemanisannya...
Semoga jalinan ini kekal dirahmati ALLAH...

Wednesday, 23 September 2009

Salam Eid al-Mubarak

1 Syawal, 12.42 p.m.

Hari ini hari pertama aidil fitri. Usai pulang dari masjid, aku terus membentang tikar-tikar di ruang tamu. Nak buat tahlil mak kata, dan memang sudah menjadi kebiasaan keluarga setiap kali selepas Syawal, pasti berkumpul untuk bertahlil, untuk arwah atuk, permintaan nenek. Entah bagaimana rupanya atuk ya…baik budinya, lemah pekertinya, sehinggakan nenek tak pernah lupa akan atuk. Rasa rugi tak berkesempatan bertemu dengan atuk, lahirnya aku apabila atuk dah tiada. Betapa untungnya atuk punya isteri yang solehah…

Kami menanti semua berkumpul di rumah. Keluarga Cik Yatin, Wak Supar, Wak Long, semuanya sudah ada. Sedikit terkilan kerana semua tak dapat berkumpul seperti tahun-tahun yang lalu kali ini. Yang pasti, rasa kehangatan kasih sebuah keluarga bila semua dapat berkumpul sama-sama, bukan selalu ada peluang ini, sekali setahun. Terdengar sayup suara ayah mengalunkan zikir, kami mengikuti…

Usai, aku mengambil kesempatan bermaaf-maafan. Sayu rasanya mendengar luahan nenek sebentar tadi. Walaupun tidak seratus peratus difahami kerana diucapkan dalam dialek Jawa, tapi aku tetap memahami dari riak hiba nenek.

Nenek hidup dah tak lama, sekejap je lagi. Nenek berharap sangat suasana macam ini sentiasa. Mengenangkan masa-masa hidup Mbah San Rais (atuk), dulu, nenek rasa semakin hampir, dengan ajalNYA…”.

Pilu sebentar suasana. Sebak dada, melihat air mata merembas deras dari pelupuk mata nenek. Lantas kami menghampiri nenek seorang demi seorang, memohon ampun dan maaf. Sampai giliran aku…

Mbah, kita minta maaf. Selalu buat mbah marah, kadang-kadang tak dengar kata mbah…”.

Sebak suasana…aku menangis. Lepas mbah, ayah dan mak pula aku rangkul. Bukan selalu dapat suasana macam ni. Bila terasa, keikhlasan itu lebih terpancar. Aku sedar, umur hanyalah angka. Ajal maut di tangan TUHAN, kita tak tahu bila masanya akan tiba. Tak semestinya menjangkau umur 60 tahun barulah kita pasti akan mati. Bukankan sebentar sahaja lagi pun menjadi satu kebarangkalian, jika ALLAH menghendakinya?

Ampun dan maaf, mak, ayah, semua…

Sebentar kemudian, ada mesej aku terima. Dari seorang sahabat…


Tatkala Ramadhan telah pergi

Qiam malam menjadi sepi

Membaca al-Quran terhenti

Istighfar dilupai

Doa-doa diabai

Moga-moga kita teruskan amalan soleh

Untuk bulan-bulan yang lain

Hadirnya Syawal menandakan kita kembali kepada fitrah

Yakni suci bersih

Jangan kita kotorinya lagi dengan dosa-dosa…”


Sejenak hati beristighfar…astaghfirullah. Terima kasih sahabat atas peringatan itu....terima kasih. Buat sahabat-sahabat, selamat bergraduasi dari madrasah taqwa Ramadhan. Tahniah bagi graduan-graduan anugerah dekan, juga yang lain. Semoga bulan-bulan mendatang jadi medan berguna buat kita beristiqomah dengan amalan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin…


"كل عام و أنتم بخير, عيد سعيد"

Selamat Tinggal...Ramadhan

30 Ramadhan, 11.30 p.m.

Baru sahaja mengkhatamkan al-Quran. 30 juzu’. Alhamdulillah, satu ibadah dapat disempurnakan. Hati aku terasa sedikit tenang dapat bernafas sepanjang Ramadhan kali ini, tapi sedikit terkilan kerana akan meninggalkan bulan yang di dalamnya ganjaran ALLAH berlipat kali ganda sehingga 70 kali. Takut aku tidak mendapat maghfirah darinya, maka diri ini yang berdosa…teringat sabda Nabi S.A.W.A.W:

"من أدرك رمضان و لم يغفر فيه فمات مثل ذلك دخل النار"

Mafhumnya : Barangsiapa yang mendapati bulan Ramdhan, tapi tidak

diampuni di dalamnya, kemudian dia mati sedemikian maka masuklah ia ke neraka.

Ya ALLAH, aku takut diri ini tergolong dalam golongan itu Ya TUHAN. Takut diri ini lalai dalam belenggu dosaMU tika masa aku tidak mengingatiMU. Takut aku terlupa mengenang nikmatMU lantaran leka dengan kemanisan dunia…ampunkan aku Ya ALLAH…

Aku takut aku tidak layak bergelar graduan madrasah taqwa ini YA ALLAH…Sekiranya mahasiswa-mahasiswa mana-mana universiti pun di dunia ini terkejar-kejar anugerah dekan atau anugerah kelas pertama, bagaimana pula ketika ini di madrasah taqwa…?

Selamat tinggal Ramadhan, semoga kita dipertemukan lagi tahun hadapan. Ku pohon diberi kesempatan untuk bertemu denganmu lagi.

"أللهم بلّغنا رمضان الأتية...

أللهم بلّغنا رمضان الأتية…

أللهم بلّغنا رمضان الأتية..."

Ramadhan, bulan dinanti-nanti…

Ketibaanmu dirai,

Pemergianmu ditangisi…

Mengharap ganjaran TUHAN seluas langit

Dan bumi

Buat umat ini, diri ini…

Hm…purnama Syawal sudah mula menjengukkan diri. Persiapan sudah hampir siap. Rumah pun sudah hampir sepenuhnya berkemas, cuma langsir rumah belum bertukar. Kuih-kuih pun sudah siap, sedia untuk dihidang. Teringat pesan mak pagi tadi supaya menyiapkan semuanya pagi esok…ya, pagi esok. Pagi terakhir aku bersahur. Pagi terakhir juga aku berpuasa. Pagi terakhir juga bernafas dengan menyedut segala nikmat Ramadhan…aku harapkan ibadah malam tadi cukup untuk diriku, walaupun aku tahu itu tak mencukupi untuk menebus dosa dan nikmat yang TUHAN berikan.

“Sekadar yang termampu,”pesan sahabatku ketika sama-sama berbuka, tepat 1 Ramadahan.

“Yang penting ikhlas, biar TUHAN nampak keikhlasan itu”.

Kadang-kadang keikhlasan kita itu ALLAH uji. Godaan nafsu datang bertubi-tubi. Fikiran teralih memikirkan perkara-perkara lagho, semuanya tak lain tak bukan untuk melihat sejauh mana keikhlasan yang ditanam. Bangun pagi untuk bersahur sahaja sudah berat dengan ujian…jika kita sedar yang ALLAH melimpahkan kasih sayangNYA dengam mengizinkan kita terjaga pagi itu, apa salahnya kalau kita penuhi pagi itu dengan zikrullah, sebagai tanda kita bersyukur…???

Nikmat malam itu manis,

Basah bibir memuji ALLAH

Berbekas dahi berteleku di hamparan sejadah…

Tapi pagi itu sudah berlalu. Ramadhan sudah hampir berlalu. Kadang-kadang ada sahaja persoalan yang berlegar, kalau bulan Ramadhan setiap pagi boleh bangun untuk beribadah, kenapa tidak di bulan-bulan lain? Adakah kita menyembah ALLAH, atau menyembah Ramadhan? Maka hati ini cuba mengikhlaskan diri untuk semua perkara…Ya ALLAH, jauhkan aku dari segala godaan nafsu…kuatkan iman hambaMU ini, supaya mungkar itu keras-keras aku tegah, supaya amalan khoirot itu segera-segera aku amal…

Kelakar…blog ialah tempat untuk aku meluah perasaan, blog juga tempat untuk aku meluah buah fikiran. Blog umpama sebuah diari, bezanya ia seolah-olah menjadi tatapan umum, tapi lebih kepada maksud untuk berkongsi. Buat tazkiyatun nafs bersama mufakkirin lain…terima kasih buat sahabat yang sentiasa memberi sokongan…

Saturday, 5 September 2009

Anugerah TUHAN...siapa tahu?



ASSALAMUALAIKUM Pictures, Images and Photos


salam mahabbah...

hm...sudah lama rasanya tak memasukkan apa2 entry ke dalam blog. ketika ini, jari jemari sibuk menekan kekunci komputer di Dunkin Donut, sambil menelaah ragam manusia yang pelbagai gayanya. apalah diri ini kalau hendak dibandingkan dengan nikmat dunia yang diberi TUHAN, tapi setiap anugerah kadang2 bukan mendatangkan kesenangan, malah ujian yang maha berat.nah, itulah mehnahnya,mehnah yang aku gagahi untuk mengharunginya.namun aku cuba untuk bersyukur kerana aku percaya setiap nikmat yang diberi pasti terpancar walau sedikit hikmah kepada kita manusia walau sekelumit,jadi biar kita sama2 menilai sejauh mana hakikat MAHA PENCIPTA menguji kita...kata salah seorang rafiq aku, apabila kita bersyukur dengan nikmat, maka itu tanda kita semakin dekat kepadaNYA.

ketika ini,hati aku seolah berbolak balik menyata kegembiraan.takut kegembiraan ini yang memakan diri,takut kegembiraan ini yang mendatangkan rasa takabbur dari menginsafi nikmatNYA.takut diri ini terlepas dari genggaman manghfirah yang sentiasa TUHAN janjikan untuk hamba2NYA yang beriman.aku tahu,setiap nikmat ini menghadirkan ujian sebesar apa yang mungkin boleh menghantui diri,terserah kepada diri untuk menjustifikasi nikmat yang telah diberi.tapi itulah hakikat kehidupan setiap jiwa yang TUHAN beri peluang untuk bernafas,agar kita saling bersyukur.

1 0gos yang lalu,aku dikejutkan dengan panggilan dari ummi dari Johor.hati berdebar2 mendengar setiap butir kata yang terucap dari bibir mungil ummi,seakan tak percaya apabila ummi mengatakan aku dipanggil oleh JAKIM untuk menerima anugerah Sijil Tinggi Agama Malaysia peringkat Kebangsaan di Hotel Ancasa Kuala Lumpur.hati ini sangat terkejut,manakan seorang yang hanya belajar setakat 6 bulan di maahad johor boleh menerima anugerah sebesar ini?hati merasakan takzimnya nikmat TUHAN, apabila TUHAN menghendaki kita supaya tidak melupakanNYA, maka pelbagai nikmat diberi untuk menguji, sama ada kita benar2 mengingati, atau memungkiri janji yang kita bai'at ketika di alam ruh seketika dulu.tambah manis lagi,para rufaqo' dari maahad johor kesemuanya menerima anugerah ini...ALHAMDULILLAH,TUHAN tunjukkan jalan...



sekitar sesi fotografi bersama rufaqo' ahibba'...majlis anugerah STAM 2008/2009.


syukur,ALHAMDULILLAH.terpalit seribu rasa kesyukuran.berada di sana aku berpeluang berkenalan dengan rufaqo' seperjuangan.akh syed ahmad israa', tahniah kerana menduduki ranking pertama kebangsaan tahun ini...tahniah juga buat ikhwan sekalian,akh yasin,akh hamidi,akh abdul hakam,akh jeffry,akh mu'iz,akh kamal hafizullah (attubni)...(",),dan yang lain.sesungguhnya nikmat perkenalan kita adalah suatu anugerah,agar untaian persahabatan terbina persis untaian tasbih...
"ada awal tiada penghujung...
dibentuk untuk mengingatiNYA...
dicantum kerana cintaNYA...
diratib semata2 kerana redhaNYA...
menitis air mata tika merasai kemanisanNYA...
semoga jalinan ini kekal dan dirahmati ALLAH..."

ALHAMDULILLAH,hamdan LILLAH...
tiada kata yang bisa terucap menyatakan kesyukuran...hati aku hiba setiap kali mengenangkan betapa besarnya nikmat ALLAH itu...nikmat persahabatan,nikmat rezeki,nikmat bernafas di muka bumi...YA TUHAN, takzimnya,MAHA PERKASA KAU yang menjadikan!!!setiap kali jasad ini rebah di atas hamparan sejadah,tiada kata selain taubat dan syukur meniti di alis bibir ini.
YA TUHAN,bibir ini memuji kebesaranMU,rasul2MU,sahabat2 rasul tercinta...

seminggu berlalu.10hb ogos 2009,tarikh keramat bagi pelajar2 kolej mara seremban batch 9.hari ini,keputusan peperiksaan Advanced Subsidiary(AS) akan diumumkan.gementar seluruh tubuh,apakan lagi aku bukan pelajar yang terbaik dalam kalangan teknokrat2 intelektual KMS.mengenangkan para sahabat yang telah buat sehabis baik ketika peperiksaan sem lalu,kerdil pula rasanya aku nak dibandingkan dengan mereka.faktanya,aku menduduki tempat terakhir dari beratus2 pelajar KMS ketika peperiksaan sem 1.aku hanya memperoleh 4 point dari 15,adakah layak diri ini ,terbandingkah diri dengan para rufaqo' yang lain...?kerdil sungguh,tak terbayang lagi suasana ketika itu,betapa malunya diri berhadapan dengan golongan bijaksana.tapi kemarau tak berpanjangan...terasa begitu banyak tangan yang menghulur,terima kasih sahabat!!!kalian membantu tatkala aku duka,tersenyum tatkala aku suka...syukron!!!

aku tak terbayang saat itu,rakan2 sekelas yang lain sudah ke meja Pn Kamilah untuk melihat keputusan.dari jauh sudah nampak riak wajah kegembiraan mereka...akh Muhammad,akh Azlan, akh Megat, akh Munzer,masing2 menggaris senyuman lebar...sambil mengalir titis2 mutiara jernih apabila masing2 mendapat 15 point (full point).tiba giliran aku...bagaimana hati ini tidak berkocak,kalaulah keputusan yang bakal ana dengar adalah kegagalan,layakkah lagi diri ini belajar di kolej ini...???tapi hati tambah terkejut,umpama dilanggar bas KMS,apabila tersenarai dalam 7 orang pelajar akaun yang mendapat 15!!!YA TUHAN, nikmat apakah ini?nikmat apakah sebesar ini...???aku tak ingat kali terakhir aku mengingatimu hingga KAU beri imbalan sebesar ini...betapa dekat cintaMU terhadap hamba2mu...

Ketika ini,diri tak mampu menyatakan apa selain kesyukuran.janji TUHAN sentiasa datang,janjiNYA sentiasa tepat,kerana DIA tak pernah menyalahi janjiNYA.tiba giliran aku memuhasabah cinta aku kepadanya...cinta yang tak kunjung padam,jikalau malap terang kembali,jikalau putus sambung kembali,jikalau luluh tegar kembali...

ALHAMDULILLAH..

ketika ini juga hati ini terimbau kepada para sahabat.sahabat yang banyak membantu ketika aku susah,sahabat yang banyak meniupkan kata semangat ketika aku berputus asa.YA TUHAN,bersyukur aku mempunyai sahabat seperti mereka...sentiasa menunjukkan jalan ketika aku tersilap langkah...terima kasih sahabat...!!!
buat para sahabat,terimalah penghargaan dariku...
rufaqo' sekelas:akh muhammad,akh megat,akh azlan,akh hadi,akh munzer,akh shafiq,akh ariff,ukht aishah,ukht wan,ukht nadia,ukht ainul,ukht nabila, ukht shalia,ukht ameera,ukht hafiza,ukht dyna...
rufaqo' KMS:akh harith,akh fikri,akh faiz,akh azrol,akh rahman,akh rahimi,akh khairullah,akh nazirul azri,akh nazirul hilmi,akh hadi,akhhanifi,akh nik,akh izzat deedat,akh alauddin,akh azwan,akh siddiq,akh nazrin,akh ali,akh khairul safwan,dan seluruhnya...
maaf andai nama kalian tiada di sini,takkan muat untuk aku muatkan semua nama kalian...
syukron kalian banyak membantu dalam kehidupan...

"Kuntum cinta robitoh ini akan terus berbunga dan tumbuh segar,
sesegar kuntuman nailofar,
ianya berputik,berbunga dan bersemi di hati ini.
YA ALLAH,satukanlah hati kami,
moga jelas fikrah di jiwa,
dalam perjuangan Islam tercinta...
ukhwah fillah selamanya..."


Saturday, 23 May 2009

Percaya atau tidak...

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh dr fadhilah kamsah berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan ke atas sebilangan surveyors untuk mengkaji habit semulajadi manusia, orang yang lahir pada bulan Februari ni seorang yang boros...???betul ke???

hm...kerana aku lahir pada 25 hari bulan februari (ops terberitahu), aku rase terpanggil untuk menyiasat kebenaran fakta ini...

hm...pada 23hb Mei 2009, aku bersame azrol(unknown) telah keluar ke seremban parade, dengan alasan nak keluar duit. tapi entahla...sesampainya disana, tibe2 naluri makan kami bersuara, mendesak kami supaya cuba merasa makanan di kenny rogers...hm, masing2 da maklum dengan selera makan masing2 yang agak monstrous sket...
apa...kenny rogers???!!!takpela...bukan selalu...desir hatiku...
hm...aku pun dengan semangatnya order satu quarter meal, dengan side dishes aku pilih mashed potatoes, sphageti n maccaroni cheese...tmbah dgn choc muffin n satu coke light as a beverage.hm, bile makanan sampai, perut aku rase bergejolak, tak sabar nak ratah semua...bile aku suapkan ayam tu ke dalam mulut aku, aku rase cam...wat the...ha, tak sedap!!!!yaALLAH...kalau menurut penilaian aku, food court kat seremban parade tu lagi sedap...nasi lemak jela. tapi, aku tetap habiskan memandangkan meal tu mahal.bila aku dah habiskan makanan atas plate, cume muffin je yang berbaki.bila aku suapkan muffin tu ke dalam mulut aku, yaALLAH, amat lazat!!!sekurang2nya walaupun quarter meal 2 xsdap, tapi muffin tu da neutralise prot aku semula...ALHAMDULILLAH...
satu perkara yang aku tak boleh nak kata apa-apa. aku bergerak ke kaunter pembayaran untuk membuat bayaranla...sekali aku terima resit, harga yang tercatat di situ ialah RM23.06!!!!ya ALLAH...betapa membazirnya aku hanya kerana nak merasa makanan kat situ...bayangkan service charge plus tax government je da 15%???resit tu aku simpan dan aku abadikan dalam 'chamber of secret' aq supaya menjadi pengajaran...JANGAN MAKAN DI KENNY ROGER's ROOSTER LAGI...

selepas tu kami decide nak jalan2 kat seremban parade.tibe2 perot kami mengeluarkan isyarat untuk makan lagi...???!!!hm...kami faham dengan perut kami, kami pun bertolak k A&W depan seremban parade....bayangkan, setelah meratah quarter meal dekat kenny rogers, aku masih mampu order combo 6 A&W, de 2 ketul ayam, french fries dengan root beer. ntahla...selera aku solah-olah telah membuak-buak ketika itu.azrol plak order satu coney dog kat situ.dan sememangnya perot kami tak boleh nak berkata apa-apa lepas itu, walhal kami tak mampu bergerak dek otot-otot kami telah dihimpit dengan lemak-lemak makanan tu...kot.kami pun duduk tak bermaya tanda kekenyangan yang mat sangat sambil membaca surat khabar. setengah jam kemudian di situ, perut kami mula maukan dessert. kami order pula aiskrim...wah, amat sedap aiskrim tu...harga RM4.10.da makan aiskrim, kami dok memerhatikan orang sekeliling...kami nampak ada orang buat parti kat party section kat situ.hm...kepala menggeleng-geleng sementara bila menyaksikan seorang mak cik bertudung leads orang-orang lain dalam parti tu buat chicken dance...what the...???hm...nama pun parti...

lepas itu, tiba-tiba hidung menangkap satu bau yang amat menyenangkan...bau waffle A&W!!!wa...sedapnya, kami pun decide nak order satu, double scoops of ice cream.wa...makan lagi...perot kami memang banyak spare space...huhu, da macam vakum da.yang pasti, kami telah menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di situ hanya untuk makan...dan makan...dan bergosip sikit...agaknya kot...bercerita tentang masalah umat.hm...kami balik dengan langkah longlai membawa perut kami yang membusung...

alahai manusia...tak tahulah apa yang terjadi masa itu. setelah aku jumlahkan duit yang aku belanjakan hari itu hanya untuk makan, adalah around RM36.96.yang penting, kajian dr fadhilah tu dah terbukti kot untuk insan-insan yang lahir bulan 2...
aduhai manusia...