Wednesday 2 December 2009

Pintu Taubat Datang dari Hati…

Penulis masih ingat, ketika kami berhalaqah ketika usrah perdana, satu persoalan timbul berkaitan dengan taubat. Persoalan ini ditimbulkan oleh salah seorang mufakkir, maka kami asyik di dalam rantaian hikmah ketika sama-sama dalam pengembaraan diskusi ilmiah.

Taubat lebih dikenali umum dengan definisi memohon maghfirah daripada ALLAH. Setiap kali manusia melakukan dosa, adalah dituntut untuk memohon keampunan. Abul-Laits as-Samarqandi berkata:

"Dosa ada dua jenis, iaitu dosa antara kamu kepada TUHAN, dan dosa sesama makhluk. Dosa antara kamu dengan Allah terlepas dengan tiga syarat taubat iaitu menyesal dalam hati; niat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah.

Sesiapa yang melakukan tiga syarat itu, Allah ampun dosanya sebelum ia bangun dari tempat duduknya, kecuali jika ia meninggalkan fardu diwajibkan Allah.

Selepas ia menunaikan fardu diperintah lalu menyesal dan beristighfar, Allah mengampunkan. Namun jika dosa kamu sesama manusia, selagi mereka tidak memaafkan atau menghalalkannya, tidak berguna taubat bagimu.

                                (Sumber, Tanbihul Ghafilin)

Namun, mustahil untuk kita mengetahui sama ada taubat kita diterim atau tidak, mengingatkan bahawa itu adalah urusan TUHAN. Jika kita benar-benar menyesal dalam hati, berniat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah, berbekalkan hati yang ikhlas, nasuha dan istiqomah, insyaALLAH taubat kita diterima.

Ibnul Qayyim rahimahullah telah menjelaskan, tanda-tanda taubat telah diterima TUHAN:

"Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)

Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin". (At-Taubah, 9:112)

"Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama".

Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

"Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun". (Maryam, 19:60)

"Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar". (An-Nisa, 4:146)

Di akhir majlis, masing-masing berpuas hati dengan kupasan perbincangan pada ketika itu. Setiap ilmu adalah cahaya, maka yang menerangi hidup kita tak cukup sekadar cahaya yang malap. Itu mengingatkan penulis, perjuangan mencari ilmu masih panjang merentas masa. Untuk itu juga penulis sentiasa beringat untuk melafazkan taubat…

Kita hamba ALLAH berjalan mengenal hakikatNYA atas 4 cabang. Fikir atas jalan syariat, zikir atas jalan tariqat, sabar atas jalan hakikat, dan syukur atas jalan makrifat…


 

Aidil Adha Hari Perpaduan?

Jumaat, 10 Zulhijjah 1430

Hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Digelar penghulu kerana banyak peristiwa penting Islam berlaku ketika hari ini. Juga hari ini, 10 Zulhijjah 1430. Ya, desis hati penulis, hari ini ialah Aidil Adha, hari raya korban yang diraikan oleh seluruh Muslimin seantero dunia. Lambang kesatuan ummah, jiwa dan hati, semuanya bersatu mendekatkan diri kepada TUHAN.

Aidil Adha, lebih masyhur dikenali dalam kalangan kita sebagai hari raya korban. Tua muda, miskin kaya, kebanyakannya sinonim bahawa pada hari ini sembelihan besar-besaran akan dilakukan sebagai tanda syukur kepada TUHAN. Yang kaya membuat korban, yang miskin menerima bahagian. Firman ALLAH S.W.T . dalam Surah al Insyiroh ayat 2:

"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANmu semata-mata, Dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)"

Sedangkan perkataan 'ADHA' itu sendiri datang dari istilah "ضحية"
(dhohiyyah) yang bermaksud korban. Isu inilah yang sering disalahertikan oleh mereka yang melakukan korban, kerana apa yang dimaksudkan korban di sini ialah korban untuk mendekatkan diri kepada TUHAN, dengan mempersembahkan korban terbaik sebagai tanda syukur. Ada orang melakukan korban untuk menunjuk-nunjuk, menimbulkan sifat sum'ah dalam diri, nauzubillah. Tak kurang yang berkorban tapi niat terpesong dari landasan sebenar. Sifat semulajadi manusia, untuk tewas kepada godaan syaitan, maka ganjaran ibadah itu adakah berbaloi?

Hari ini juga, umat Islam berbondong-bondong melaksanakan rukun Islam yang kelima; menunaikan haji. Dari segenap pelosok dunia, umat Islam berkumpul di Baitul Haram, mengambil kesempatan untuk saling mengenali dunia Islam di rantau berbeza, tidak kira warna kulit, ataupun bangsa. Suasana inilah yang mencerminkan perpaduan antara umat Islam sendiri. Ada satu teori sains yang mengatakan bahawa, setiap pusingan tawaf umat Islam mengelilingi kaabah menggalakkan penyerapan ion-ion positif ke dalam bumi, lebih-lebih lagi Kaabah yang berfungsi sebagai pusat bumi.

Sebelum penulis melangkah keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Aidil Adha, penulis tertarik sebentar untuk mendengar budi bicara pengacara rancangan Malaysia Hari ini. Ada isu menarik rasanya pagi ini, apabila topik kupasannya berkaitan dengan menunaikan haji pada hari Tasyrik. Menariknya, apabila beliau menyentuh isu perpaduan umat Islam membuatkan penulis pun terhenti sebentar memutar fikiran untuk membuat konklusi. Ya, benar. Kenapa ketika menunaikan haji, semua umat Islam boleh berkumpul untuk menyatakan perpaduan umat Islam, tapi pada ketika lain? Apakah respons umat Islam seluruh dunia sebagai menyahut frasa nama perpaduan, ketika mendengar isu Palestin dibantai tentera tirani Israel setiap hari di dada-dada akhbar? Bagaimana pula isu politik selatan Filipina, bumi Mindanao yang bergolak gara-gara perbalahan antara puak majoriti Islam dan minoriti Kristian? Isu Iraq yang berantakan dilanggar tentera-tentera dajjal Amerika, memusnahkan makam-makam suci ulama' keturunan Ahlul Bait?

Merenung nasib umat Islam seluruh dunia, tiada bumi yang dihuni Muslim walau seorang, yang boleh menarik nafas lega dari kecaman puak kuffar.Timur atau Barat, Utara dan Selatan, umat islam ditekan dan ditindas secara sedar atau tidak. Perbalahan agama antara pelampau Hindu dan puak minoriti Muslim di India berterusan mencetus polemik tanpa menunjukkan sebarang tanda noktah. Trauma tak berkesudahan wanita-wanita malang akibat diperkosa di bumi Bosnia usai pelanggaran tentera Serbia. Di Amerika, Britain dan Jerman, isu Islamophobia meningkat, keselamatan satu jiwa Musli m tak terjamin seperti insiden pembunuhan Marwa al-Sharbini. Ada ulama'-ulama' sibuk mentakfir antara satu sama lain sedangkan isu semasa ummah diabaikan. Isu Wahhabi, fahaman Salafi, serta pelampau bid'ah terus menkomplikasikan masalah ummah yang sedia rumit.

Di pihak yang lain, umat Islam dikaburi dengan belenggu sekular dan kapitalis. Di Malaysia, umat Islam Melayu sibuk disogok dengan propaganda-propaganda berkaitan hak nasionalis bumiputra daripada isu-isu agama. Di Timur Tengah, para umara' mendiamkan diri dari bersuara mencanang kebebasan bumi Palestin. Arab Saudi yang berfahaman Wahhabi kononnya, menerima topang Amerika Syarikat berkaitan isu petroleum dengan bantuan ekonomi sebagai ganti. Mesir tunduk mengikut telunjuk Barat dengan menutup pintu sempadan Rafah ketika Gaza digempur tentera Israel. Afghanistan terus maju selepas 'bantuan' Amerika membebaskannya dari genggaman Taliban, termasuklah dari sudut hiburan apabila wanita-wanita dibenarkan tampil di atas pentas (di mana burqanya seperti sebelum ini?). Isu kemiskinan kalangan ummah di Indonesia menyempitkan lagi ruang pemahaman Muslim terhadap akidah, mengingatkan bahawa kemiskinan itu hampir kepada kekufuran. Para remaja dibelenggu budaya hedonism, pergaulan bebas dan arak menjadi trend ikutan apabila Barat menjadi kiblat baru. Di manakah perpaduan yang sepatutnya kita pegang, atas dasar syahadah yang kita sama menjadi saksi?

Sejarah telah menyaksikan bagaimana binasa empayar Turki Uthmaniyyah dipukul mundur oleh kekuatan tentera Barat sekitar akhir Perang Dunia Pertama. Kejatuhan satu-satunya kerajaan Islam yang masih bertapak menyebabkan banyak wilayah-wilayah Islam di bawah jajahannya ditakuluk oleh kuasa Barat, termasuk wilayah-wilayah majoriti umat Islam di Asia dan Afrika. Dengan kata lain, Perang Dunia Pertama itni bukan sahaja melenyapkan kekuatan kerajaan Islam, bahkan melenyapkan sebarang percubaan umat Islam untuk bangkit kembali sesudah hancur akibat pertelagahan sesama sendiri dalam kalangan para Khulafa' Islam yang pernah menguasai Timur Tengah.

Kejatuhan ini bukan baru sahaja berlaku, malahan kekuatan kerajaan Bani Abbasiyah pernah hancur dek serangan tentera Mongol dari Asia Tengah sekitar 1258M. Ketika itu, pusat kuasa Islam di kota Baghdad, Iraq menyaksikan kehancuran berdarah, menamatkan sejarah tamadun Islam di Timur Tengah. Nasib yang sama dialami kuasa Islam Bani Umayyah di Andalusia yang diasaskan pada tahun 756M hingga tewas kepada tentera Kristian pada tahun 1002M. Umat Islam yang menyerah dan ditawan telah menderita di bawah kezaliman tentera Kristian seperti penderitaan yang dialami saudara-saudara kita sekarang di bumi al-Aqsa.

Jika ditelusuri, semua kronologi tragis yang berlaku adalah rentetan daripada sikap kita sendiri umat Islam. Apabila al-Quran dipraktikkan sebahagian, lalu sebahagian yang lain ditinggalkan, tunggulah saat kehancuran umat sendiri. Kita tak punya pilihan lain selain mempertahankan apa yang kita sedia pegang jika kita benar-benar menyaksikan kebenaran yang dijunjung dengan kalimah Tauhid, kewibawaan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah, keperkasaan para Sahabat dalam membina kekuatan Islam, kerana Islam adalah satu-satunya agama yang membawa kita kepada keseimbangan duniawi, dan ukhrawi, lantas meraih keredhaan TUHAN. FirmanNYA dalam surah al-Imraan, ayat 19:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi ALLAH ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya, (perselisihan itu) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat segera dalam hitungan hisabNYA".

Siapa lagi untuk menyalakan obor semangat jihad kalangan ummah kalau bukan kita para du'ah Muslimin. Kitalah generasi baru kelahiran Salahuddin al-Ayyubi, pewaris keberanian Tariq bin Ziyad, penyambung kepahlawanan Sultan Muhammad al-Fatih. Sesungguhnya Rasulullah gembira dengan setiap kelahiran jiwa baru Muslim, supaya mereka akan menjadi penerus perjuangan dakwah baginda membersihkan jiwa setiap manusia di bumi ini dari debu dosa, mengingatkan bahawa semua mereka ialah umat baginda. Maka sahutlah perjuangan, sahutlah kata-kata Imam Hassan al-Banna:

"Kamu adalah roh baru yang mengalir di dalam tubuh manusia dan ia akan menhhidupkan umat ini dengan al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang bersinar, yang menyingkap tabir kegelapan materialism dan menggantikannya denganmakrfatullah. Kamu adalah suara yang menggema tinggi dan sentiasa menyenandungkan dakwah Rasulullah s.a.w."

Sesungguhnya janji Rasulullah telah tiba dalam sabda baginda:

Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan dating mengerumuni kamu bagai orang lapar mengerumuni hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada ketika itu?". Nabi S.A.W.A.W. menjawab, "Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali,tetapi kamu umpama buih di lautan dan ALLAH akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan ALLAH lemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahnu. Seorang sahabat bertanya, "Apakah itu al-Wahnu ya Rasulullah?". Baginda menjawab, "Cinta dunia dan bencikan mati".

                                 (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)