Tuesday 30 March 2010

Memori MPU 2009/2010

>

24 Mac 2010

“This parting is just the beginning”…

Ustaz Sofi kata, banyak lagi mehnah yang kami akan hadapi. Tapi itu tak bermakna kami telah sunyi dari tanggungjawab sebagai seorang pendakwah. Malam itu kami melangkah kaki ke dunia sebenar Islam dan dakwah, permulaan cabaran sebenar sebagai seorang Muslim. Betul kata Nash dengan Ali, kita ini adalah Muslim sepenuh masa, bukan ketika berada di surau sahaja, kita juga adalah Muslim, bukan Mu-slim…

Malam itu, banyak kenangan tercipta. Syahdu juga, rupanya inilah sem terakhir kami di kolej. Selesai exam, ada banyak masa terluang sebelum menunggu masa ke bumi orang. Ada yang ke akan ke New Zealand, India, UK, Czech, Australia…tapi mana-mana pun, ukhwah kerana ALLAH takkan pernah terputus, malah akan terus segar , sesegar nailofar. Hai, resam bersahabat, ada pertemuan ada perpisahan. Cuma sekejap terkenang mengemis air mata membasahi batasan persahabatan, biar makin subur bercambah menjadi jiwa-jiwa da’i. Ya, sekejap cuma pertemuan di Kolej MARA Seremban. Bekerja bersama, belajar bersama, menghabiskan masa bersama. Tapi kerana kita sama-sama bekerja kerana Islam, belajar kerana Islam, menghabiskan masa kerana Islam, maka kita akan terus bersama selamanya. Tak kira di ceruk mana sekalipun, di pinggir Bandar Auckland, di perbatasan menghijau bumi Wellington, di tengah-tengah kesesakan kota Sydney, Manipal, London, atau mana-mana sekalipun. Akan tetap segar…

Macam mana pun, malam itu, 1001 kenangan sama-sama bertandang ketika berada di sekolah lama. Kenangan bersama ikhwah muda , rakan seperjuangan, masih segar di ingatan. Entah apa khabar mereka ya sekarang, ada yang jauh bermusafir ke bumi Anbiyaa’ meneruskan misi mejadi ulama’ yang disegani. Pengganti Syeikh Yusof al-Qardhawi, Syeikh Ramadhan al-Bhuti, dan lainnya. Tak kurang untuk menanam perasaan jihad dalam hati, biar bercambah, pengganti as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-Syahid Dr Abd Azizi ar-Rantisi. Mesir, Jordan, Maghribi, semuanya menjanjikan tabir anbiya’ tersingkap sebentar, untuk ditelusuri, lalu dihayati, hingga mengalir air mata…Ya Abal Qasim. Hm…selebihnya di sini, sama-sama menuntut ilmu. Bidang professional, biarlah semuanya diceburi, supaya Islam itu terbela. Janji rakan-rakan, kita semua pembela agama, insya-ALLAH bayangan Sultan Muhammad al-Fateh muncul.

Kenangan Majlis Penangguhan Usrah (MPU) 2009/2010...

Tuesday 5 January 2010

Monolog...

Sekeping hati yang sedang bergelut dengan rona kehidupan, dugaan dan godaan menimbulkan rasa gundah kepada seorang insan. Aku. Tak mampu lari dari perjalanan kehidupan , di kiri ada selut yang perlu dilalui, kanan pula menanti onak-onak duri yang tersembunyi. Aku hanya insan biasa…

Bermula semester keempat, riak perasaan dalam diri bercampur baur dengan rasa bersalah. Bersalah kerana tak mampu menunaikan hasrat mak, harapan ayah, juga impian sendiri. Keegoan yang tumbuh dalam diri sedikit demi sedikit, tenggelam dimamah rasa penyesalan. Ya ALLAH, kuatkan hati ini dengan sumber ketabahan, tekad yang membara untuk mencetus barang sedikit putaran revolusi, walaupun hanya 1 darjah. Perasaan apakah yang telah menumbangkan kehidupan hati ini selama ini. Perasaan apakah ini…?


Hendak disesali pun tak berguna, ‘result’ itulah yang tertulis di atas setiap kertas jawapan, telah siap bertanda oleh cikgu. Hm…’result’ untuk exam semester ke-3 tak begitu memuaskan, malahan mengecewakan. Bukan aku tak pernah mendapat pointer yang lebih teruk dari ini, tapi seolah-olah aku cuba menghukum diri sendiri kerana tak meletakkan sedaya usaha untuk ‘study’ semester ke-3. Hasilnya…Ya ALLAH, pointer aku hanya 8 daripada 15 point.


Sebelum ini, aku kerap mengatakan kepada diri sendiri, juga kepada sahabat, bahawa untuk internal exam, aku tak sungguh-sungguh berusaha. Itu ‘attitude’ aku. Kini, aku tersalah. Penyesalan bersarang dalam diri…Ya ALLAH, mudah sungguh keikhlasan aku luntur ketika aku sudah mengecapi nikmat, walaupun sementara cuma. Malah ketika peperiksaan semester pertama, aku hanya memperoleh 4 point.

Tapi, jauh di sudut hati, aku bersyukur. Kerana ALLAH memberi aku kesempatan ini untuk menyedari kesilapan. Kerana ALLAH, tak menarik nikmat yang telah diberikan kepadaku, membuatkan aku sentiasa merasa terbuai-buai dalam lautan rahmat yang melimpah. Ya ALLAH…persinggahan ini sementara cuma, ujian dariMu mengukuhkan pegangan, meneguhkan hati. Jauh di sudut hati, terlintas di fikiran, bahawa kalaulah sahabat-sahabat aku boleh ‘score’ dalam subjek masing-masing, kenapa tidak aku? Kalaulah mereka mampu memperoleh 15, 14 ataupun 10 sekalipun, kenapa aku pula tak boleh? Aku juga mampu, dengan kudrat dan nikmat yang ada, kerana aku gantungkan tawakkal kepadaNYA, semoga sentiasa berada di jalanNYA.


Terima kasih sahabat…atas kesempatan ini aku berharap menemui ‘turning point’ aku. Keputusan 15 yang aku peroleh dalam peperiksaan semester ke-2 yang lalu, yang juga peperiksaan tahun pertama A-Level, masih tak mencukupi untuk aku memerah sedaya keringat. Lantas kesyukuran aku limpahkan kepadaMu Ya ALLAH…


Aku percaya akan kejayaan yang aku akan tempa, asalkan tekad kuat. Konsepnya sama dengan prinsip dakwah, seperti yang pernah dinukilkan Imam Hassan al-Banna, Dur asSyabab ila asSyabab:

“Kekuatan dakwah seseorang ditunjangi 4 perkara: iman sebagai asas, ikhlas, himmah atau tekad yang kuat, strategi pelaksanaan yang baik.”

Tanpa tekad itu, adakah aku mampu menggalas tanggungjawab ini?