Tuesday 30 March 2010

Memori MPU 2009/2010

>

24 Mac 2010

“This parting is just the beginning”…

Ustaz Sofi kata, banyak lagi mehnah yang kami akan hadapi. Tapi itu tak bermakna kami telah sunyi dari tanggungjawab sebagai seorang pendakwah. Malam itu kami melangkah kaki ke dunia sebenar Islam dan dakwah, permulaan cabaran sebenar sebagai seorang Muslim. Betul kata Nash dengan Ali, kita ini adalah Muslim sepenuh masa, bukan ketika berada di surau sahaja, kita juga adalah Muslim, bukan Mu-slim…

Malam itu, banyak kenangan tercipta. Syahdu juga, rupanya inilah sem terakhir kami di kolej. Selesai exam, ada banyak masa terluang sebelum menunggu masa ke bumi orang. Ada yang ke akan ke New Zealand, India, UK, Czech, Australia…tapi mana-mana pun, ukhwah kerana ALLAH takkan pernah terputus, malah akan terus segar , sesegar nailofar. Hai, resam bersahabat, ada pertemuan ada perpisahan. Cuma sekejap terkenang mengemis air mata membasahi batasan persahabatan, biar makin subur bercambah menjadi jiwa-jiwa da’i. Ya, sekejap cuma pertemuan di Kolej MARA Seremban. Bekerja bersama, belajar bersama, menghabiskan masa bersama. Tapi kerana kita sama-sama bekerja kerana Islam, belajar kerana Islam, menghabiskan masa kerana Islam, maka kita akan terus bersama selamanya. Tak kira di ceruk mana sekalipun, di pinggir Bandar Auckland, di perbatasan menghijau bumi Wellington, di tengah-tengah kesesakan kota Sydney, Manipal, London, atau mana-mana sekalipun. Akan tetap segar…

Macam mana pun, malam itu, 1001 kenangan sama-sama bertandang ketika berada di sekolah lama. Kenangan bersama ikhwah muda , rakan seperjuangan, masih segar di ingatan. Entah apa khabar mereka ya sekarang, ada yang jauh bermusafir ke bumi Anbiyaa’ meneruskan misi mejadi ulama’ yang disegani. Pengganti Syeikh Yusof al-Qardhawi, Syeikh Ramadhan al-Bhuti, dan lainnya. Tak kurang untuk menanam perasaan jihad dalam hati, biar bercambah, pengganti as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-Syahid Dr Abd Azizi ar-Rantisi. Mesir, Jordan, Maghribi, semuanya menjanjikan tabir anbiya’ tersingkap sebentar, untuk ditelusuri, lalu dihayati, hingga mengalir air mata…Ya Abal Qasim. Hm…selebihnya di sini, sama-sama menuntut ilmu. Bidang professional, biarlah semuanya diceburi, supaya Islam itu terbela. Janji rakan-rakan, kita semua pembela agama, insya-ALLAH bayangan Sultan Muhammad al-Fateh muncul.

Kenangan Majlis Penangguhan Usrah (MPU) 2009/2010...

Tuesday 5 January 2010

Monolog...

Sekeping hati yang sedang bergelut dengan rona kehidupan, dugaan dan godaan menimbulkan rasa gundah kepada seorang insan. Aku. Tak mampu lari dari perjalanan kehidupan , di kiri ada selut yang perlu dilalui, kanan pula menanti onak-onak duri yang tersembunyi. Aku hanya insan biasa…

Bermula semester keempat, riak perasaan dalam diri bercampur baur dengan rasa bersalah. Bersalah kerana tak mampu menunaikan hasrat mak, harapan ayah, juga impian sendiri. Keegoan yang tumbuh dalam diri sedikit demi sedikit, tenggelam dimamah rasa penyesalan. Ya ALLAH, kuatkan hati ini dengan sumber ketabahan, tekad yang membara untuk mencetus barang sedikit putaran revolusi, walaupun hanya 1 darjah. Perasaan apakah yang telah menumbangkan kehidupan hati ini selama ini. Perasaan apakah ini…?


Hendak disesali pun tak berguna, ‘result’ itulah yang tertulis di atas setiap kertas jawapan, telah siap bertanda oleh cikgu. Hm…’result’ untuk exam semester ke-3 tak begitu memuaskan, malahan mengecewakan. Bukan aku tak pernah mendapat pointer yang lebih teruk dari ini, tapi seolah-olah aku cuba menghukum diri sendiri kerana tak meletakkan sedaya usaha untuk ‘study’ semester ke-3. Hasilnya…Ya ALLAH, pointer aku hanya 8 daripada 15 point.


Sebelum ini, aku kerap mengatakan kepada diri sendiri, juga kepada sahabat, bahawa untuk internal exam, aku tak sungguh-sungguh berusaha. Itu ‘attitude’ aku. Kini, aku tersalah. Penyesalan bersarang dalam diri…Ya ALLAH, mudah sungguh keikhlasan aku luntur ketika aku sudah mengecapi nikmat, walaupun sementara cuma. Malah ketika peperiksaan semester pertama, aku hanya memperoleh 4 point.

Tapi, jauh di sudut hati, aku bersyukur. Kerana ALLAH memberi aku kesempatan ini untuk menyedari kesilapan. Kerana ALLAH, tak menarik nikmat yang telah diberikan kepadaku, membuatkan aku sentiasa merasa terbuai-buai dalam lautan rahmat yang melimpah. Ya ALLAH…persinggahan ini sementara cuma, ujian dariMu mengukuhkan pegangan, meneguhkan hati. Jauh di sudut hati, terlintas di fikiran, bahawa kalaulah sahabat-sahabat aku boleh ‘score’ dalam subjek masing-masing, kenapa tidak aku? Kalaulah mereka mampu memperoleh 15, 14 ataupun 10 sekalipun, kenapa aku pula tak boleh? Aku juga mampu, dengan kudrat dan nikmat yang ada, kerana aku gantungkan tawakkal kepadaNYA, semoga sentiasa berada di jalanNYA.


Terima kasih sahabat…atas kesempatan ini aku berharap menemui ‘turning point’ aku. Keputusan 15 yang aku peroleh dalam peperiksaan semester ke-2 yang lalu, yang juga peperiksaan tahun pertama A-Level, masih tak mencukupi untuk aku memerah sedaya keringat. Lantas kesyukuran aku limpahkan kepadaMu Ya ALLAH…


Aku percaya akan kejayaan yang aku akan tempa, asalkan tekad kuat. Konsepnya sama dengan prinsip dakwah, seperti yang pernah dinukilkan Imam Hassan al-Banna, Dur asSyabab ila asSyabab:

“Kekuatan dakwah seseorang ditunjangi 4 perkara: iman sebagai asas, ikhlas, himmah atau tekad yang kuat, strategi pelaksanaan yang baik.”

Tanpa tekad itu, adakah aku mampu menggalas tanggungjawab ini?

Wednesday 2 December 2009

Pintu Taubat Datang dari Hati…

Penulis masih ingat, ketika kami berhalaqah ketika usrah perdana, satu persoalan timbul berkaitan dengan taubat. Persoalan ini ditimbulkan oleh salah seorang mufakkir, maka kami asyik di dalam rantaian hikmah ketika sama-sama dalam pengembaraan diskusi ilmiah.

Taubat lebih dikenali umum dengan definisi memohon maghfirah daripada ALLAH. Setiap kali manusia melakukan dosa, adalah dituntut untuk memohon keampunan. Abul-Laits as-Samarqandi berkata:

"Dosa ada dua jenis, iaitu dosa antara kamu kepada TUHAN, dan dosa sesama makhluk. Dosa antara kamu dengan Allah terlepas dengan tiga syarat taubat iaitu menyesal dalam hati; niat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah.

Sesiapa yang melakukan tiga syarat itu, Allah ampun dosanya sebelum ia bangun dari tempat duduknya, kecuali jika ia meninggalkan fardu diwajibkan Allah.

Selepas ia menunaikan fardu diperintah lalu menyesal dan beristighfar, Allah mengampunkan. Namun jika dosa kamu sesama manusia, selagi mereka tidak memaafkan atau menghalalkannya, tidak berguna taubat bagimu.

                                (Sumber, Tanbihul Ghafilin)

Namun, mustahil untuk kita mengetahui sama ada taubat kita diterim atau tidak, mengingatkan bahawa itu adalah urusan TUHAN. Jika kita benar-benar menyesal dalam hati, berniat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah, berbekalkan hati yang ikhlas, nasuha dan istiqomah, insyaALLAH taubat kita diterima.

Ibnul Qayyim rahimahullah telah menjelaskan, tanda-tanda taubat telah diterima TUHAN:

"Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)

Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin". (At-Taubah, 9:112)

"Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama".

Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

"Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun". (Maryam, 19:60)

"Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar". (An-Nisa, 4:146)

Di akhir majlis, masing-masing berpuas hati dengan kupasan perbincangan pada ketika itu. Setiap ilmu adalah cahaya, maka yang menerangi hidup kita tak cukup sekadar cahaya yang malap. Itu mengingatkan penulis, perjuangan mencari ilmu masih panjang merentas masa. Untuk itu juga penulis sentiasa beringat untuk melafazkan taubat…

Kita hamba ALLAH berjalan mengenal hakikatNYA atas 4 cabang. Fikir atas jalan syariat, zikir atas jalan tariqat, sabar atas jalan hakikat, dan syukur atas jalan makrifat…


 

Aidil Adha Hari Perpaduan?

Jumaat, 10 Zulhijjah 1430

Hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Digelar penghulu kerana banyak peristiwa penting Islam berlaku ketika hari ini. Juga hari ini, 10 Zulhijjah 1430. Ya, desis hati penulis, hari ini ialah Aidil Adha, hari raya korban yang diraikan oleh seluruh Muslimin seantero dunia. Lambang kesatuan ummah, jiwa dan hati, semuanya bersatu mendekatkan diri kepada TUHAN.

Aidil Adha, lebih masyhur dikenali dalam kalangan kita sebagai hari raya korban. Tua muda, miskin kaya, kebanyakannya sinonim bahawa pada hari ini sembelihan besar-besaran akan dilakukan sebagai tanda syukur kepada TUHAN. Yang kaya membuat korban, yang miskin menerima bahagian. Firman ALLAH S.W.T . dalam Surah al Insyiroh ayat 2:

"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANmu semata-mata, Dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)"

Sedangkan perkataan 'ADHA' itu sendiri datang dari istilah "ضحية"
(dhohiyyah) yang bermaksud korban. Isu inilah yang sering disalahertikan oleh mereka yang melakukan korban, kerana apa yang dimaksudkan korban di sini ialah korban untuk mendekatkan diri kepada TUHAN, dengan mempersembahkan korban terbaik sebagai tanda syukur. Ada orang melakukan korban untuk menunjuk-nunjuk, menimbulkan sifat sum'ah dalam diri, nauzubillah. Tak kurang yang berkorban tapi niat terpesong dari landasan sebenar. Sifat semulajadi manusia, untuk tewas kepada godaan syaitan, maka ganjaran ibadah itu adakah berbaloi?

Hari ini juga, umat Islam berbondong-bondong melaksanakan rukun Islam yang kelima; menunaikan haji. Dari segenap pelosok dunia, umat Islam berkumpul di Baitul Haram, mengambil kesempatan untuk saling mengenali dunia Islam di rantau berbeza, tidak kira warna kulit, ataupun bangsa. Suasana inilah yang mencerminkan perpaduan antara umat Islam sendiri. Ada satu teori sains yang mengatakan bahawa, setiap pusingan tawaf umat Islam mengelilingi kaabah menggalakkan penyerapan ion-ion positif ke dalam bumi, lebih-lebih lagi Kaabah yang berfungsi sebagai pusat bumi.

Sebelum penulis melangkah keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Aidil Adha, penulis tertarik sebentar untuk mendengar budi bicara pengacara rancangan Malaysia Hari ini. Ada isu menarik rasanya pagi ini, apabila topik kupasannya berkaitan dengan menunaikan haji pada hari Tasyrik. Menariknya, apabila beliau menyentuh isu perpaduan umat Islam membuatkan penulis pun terhenti sebentar memutar fikiran untuk membuat konklusi. Ya, benar. Kenapa ketika menunaikan haji, semua umat Islam boleh berkumpul untuk menyatakan perpaduan umat Islam, tapi pada ketika lain? Apakah respons umat Islam seluruh dunia sebagai menyahut frasa nama perpaduan, ketika mendengar isu Palestin dibantai tentera tirani Israel setiap hari di dada-dada akhbar? Bagaimana pula isu politik selatan Filipina, bumi Mindanao yang bergolak gara-gara perbalahan antara puak majoriti Islam dan minoriti Kristian? Isu Iraq yang berantakan dilanggar tentera-tentera dajjal Amerika, memusnahkan makam-makam suci ulama' keturunan Ahlul Bait?

Merenung nasib umat Islam seluruh dunia, tiada bumi yang dihuni Muslim walau seorang, yang boleh menarik nafas lega dari kecaman puak kuffar.Timur atau Barat, Utara dan Selatan, umat islam ditekan dan ditindas secara sedar atau tidak. Perbalahan agama antara pelampau Hindu dan puak minoriti Muslim di India berterusan mencetus polemik tanpa menunjukkan sebarang tanda noktah. Trauma tak berkesudahan wanita-wanita malang akibat diperkosa di bumi Bosnia usai pelanggaran tentera Serbia. Di Amerika, Britain dan Jerman, isu Islamophobia meningkat, keselamatan satu jiwa Musli m tak terjamin seperti insiden pembunuhan Marwa al-Sharbini. Ada ulama'-ulama' sibuk mentakfir antara satu sama lain sedangkan isu semasa ummah diabaikan. Isu Wahhabi, fahaman Salafi, serta pelampau bid'ah terus menkomplikasikan masalah ummah yang sedia rumit.

Di pihak yang lain, umat Islam dikaburi dengan belenggu sekular dan kapitalis. Di Malaysia, umat Islam Melayu sibuk disogok dengan propaganda-propaganda berkaitan hak nasionalis bumiputra daripada isu-isu agama. Di Timur Tengah, para umara' mendiamkan diri dari bersuara mencanang kebebasan bumi Palestin. Arab Saudi yang berfahaman Wahhabi kononnya, menerima topang Amerika Syarikat berkaitan isu petroleum dengan bantuan ekonomi sebagai ganti. Mesir tunduk mengikut telunjuk Barat dengan menutup pintu sempadan Rafah ketika Gaza digempur tentera Israel. Afghanistan terus maju selepas 'bantuan' Amerika membebaskannya dari genggaman Taliban, termasuklah dari sudut hiburan apabila wanita-wanita dibenarkan tampil di atas pentas (di mana burqanya seperti sebelum ini?). Isu kemiskinan kalangan ummah di Indonesia menyempitkan lagi ruang pemahaman Muslim terhadap akidah, mengingatkan bahawa kemiskinan itu hampir kepada kekufuran. Para remaja dibelenggu budaya hedonism, pergaulan bebas dan arak menjadi trend ikutan apabila Barat menjadi kiblat baru. Di manakah perpaduan yang sepatutnya kita pegang, atas dasar syahadah yang kita sama menjadi saksi?

Sejarah telah menyaksikan bagaimana binasa empayar Turki Uthmaniyyah dipukul mundur oleh kekuatan tentera Barat sekitar akhir Perang Dunia Pertama. Kejatuhan satu-satunya kerajaan Islam yang masih bertapak menyebabkan banyak wilayah-wilayah Islam di bawah jajahannya ditakuluk oleh kuasa Barat, termasuk wilayah-wilayah majoriti umat Islam di Asia dan Afrika. Dengan kata lain, Perang Dunia Pertama itni bukan sahaja melenyapkan kekuatan kerajaan Islam, bahkan melenyapkan sebarang percubaan umat Islam untuk bangkit kembali sesudah hancur akibat pertelagahan sesama sendiri dalam kalangan para Khulafa' Islam yang pernah menguasai Timur Tengah.

Kejatuhan ini bukan baru sahaja berlaku, malahan kekuatan kerajaan Bani Abbasiyah pernah hancur dek serangan tentera Mongol dari Asia Tengah sekitar 1258M. Ketika itu, pusat kuasa Islam di kota Baghdad, Iraq menyaksikan kehancuran berdarah, menamatkan sejarah tamadun Islam di Timur Tengah. Nasib yang sama dialami kuasa Islam Bani Umayyah di Andalusia yang diasaskan pada tahun 756M hingga tewas kepada tentera Kristian pada tahun 1002M. Umat Islam yang menyerah dan ditawan telah menderita di bawah kezaliman tentera Kristian seperti penderitaan yang dialami saudara-saudara kita sekarang di bumi al-Aqsa.

Jika ditelusuri, semua kronologi tragis yang berlaku adalah rentetan daripada sikap kita sendiri umat Islam. Apabila al-Quran dipraktikkan sebahagian, lalu sebahagian yang lain ditinggalkan, tunggulah saat kehancuran umat sendiri. Kita tak punya pilihan lain selain mempertahankan apa yang kita sedia pegang jika kita benar-benar menyaksikan kebenaran yang dijunjung dengan kalimah Tauhid, kewibawaan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah, keperkasaan para Sahabat dalam membina kekuatan Islam, kerana Islam adalah satu-satunya agama yang membawa kita kepada keseimbangan duniawi, dan ukhrawi, lantas meraih keredhaan TUHAN. FirmanNYA dalam surah al-Imraan, ayat 19:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi ALLAH ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya, (perselisihan itu) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat segera dalam hitungan hisabNYA".

Siapa lagi untuk menyalakan obor semangat jihad kalangan ummah kalau bukan kita para du'ah Muslimin. Kitalah generasi baru kelahiran Salahuddin al-Ayyubi, pewaris keberanian Tariq bin Ziyad, penyambung kepahlawanan Sultan Muhammad al-Fatih. Sesungguhnya Rasulullah gembira dengan setiap kelahiran jiwa baru Muslim, supaya mereka akan menjadi penerus perjuangan dakwah baginda membersihkan jiwa setiap manusia di bumi ini dari debu dosa, mengingatkan bahawa semua mereka ialah umat baginda. Maka sahutlah perjuangan, sahutlah kata-kata Imam Hassan al-Banna:

"Kamu adalah roh baru yang mengalir di dalam tubuh manusia dan ia akan menhhidupkan umat ini dengan al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang bersinar, yang menyingkap tabir kegelapan materialism dan menggantikannya denganmakrfatullah. Kamu adalah suara yang menggema tinggi dan sentiasa menyenandungkan dakwah Rasulullah s.a.w."

Sesungguhnya janji Rasulullah telah tiba dalam sabda baginda:

Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan dating mengerumuni kamu bagai orang lapar mengerumuni hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada ketika itu?". Nabi S.A.W.A.W. menjawab, "Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali,tetapi kamu umpama buih di lautan dan ALLAH akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan ALLAH lemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahnu. Seorang sahabat bertanya, "Apakah itu al-Wahnu ya Rasulullah?". Baginda menjawab, "Cinta dunia dan bencikan mati".

                                 (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Friday 20 November 2009

Memori Nuqaba' Senior KMS...

Masa menghitung usia yang berbaki di Kolej MARA Seremban. Sedar tak sedar, sudah semester ketiga rupanya kami di batch 9 A-level. Alhamdulillah...banyak kenangan memugar tinta pengalaman yang masih cetek. Pahit atau manis, kehidupan bersama sahabat menceriakan lagi suasana, melata di bumi TUHAN. Entah bila lagi kenangan itu akan dapat diulang kembali...

Sedikit masa lagi, pelajar-pelajar fast track akan berlepas ke destinasi pengajian, Australia atau New Zealand. Di antara mereka, adalah para-para du'ah yang turut sama berjuang di medan dakwah. ALLAH, rasa sedikit hiba mengenang perpisahan yang bakal menjelma. Namun aku akur, setiap pertemuan menjanjikan perpisahan, dan setiap perpisahan pasti mengemis sedikit rembasan air mata. Bezanya, titik pertemuan ini adalah kerana kita berada di landasan yang sama, dan insyaALLAH selagi nafas masih mampu dihela, perjuangan akan diteruskan. Kata Imam Hassan al-Banna, tiada kerehatan bagi seorang pejuang melainkan mati.

Kata Ustaz Sofi, tujuh golongan yang yang mendapat perlindungan arasy TUHAN di hari kiamat nanti, antaranya ialah dua remaja yang bersahabat, bertemu keranaNYA, berpisah pun keranaNYA. Teringat hadith ini ketika aku masih di tingkatan 4, Ustaz Turijan beria-ia menerangkan di hadapan kelas untuk subjek Hadith. Cuma aku yang masih berjiwa remaja ketika itu, tersengguk-sengguk menahan beratnya kelopak mata gara-gara lambat lena malam itu. Hm...kini terasa juga benarnya ungkapan itu, insyaALLAH. Mungkin kami berlainan benua, diteduh langit yang lain, berpijak di bumi yang lain, namun semua berpijak atas medan dakwah yang sama.

Memori ini akan terus segar di ingatan, sesegar nailofar menguntum senyuman dari kejauhan mentari Malaya...

Kenangan bersama para nuqaba'...

Belakang dari kiri: Akh Rahimi, Akh Azman, Akh Muhammad, Akh Abdul Qadir, Akh Khairullah, Akh Harith.
Tengah dari kiri: Akh Amjad, Akh Khairul Safwan, Ana, Akh Siddiq, Akh Faiz, Akh Hanifi
Depan Dari kiri: Akh Fikri, Akh Izzat, Akh Nik

Dedikasi ini khusus untuk bakal-bakal mahasiswa luar negara...akh Nik, akh Faiz, akh Hanifi, Akh Amjad, Akh Muhammad, serta semua para sahabat yang bakal berlepas tahun hadapan. Semoga perjalanan di sana lebih dirahmati ALLAH...




Jalinan antara kita terbina persis untaian tasbih,
Ada awal tiada penghujung,
Dibentuk untuk menginngatiNYA,
Dicantum kerana cintaNYA,
Diratib semata-mata kerana redhaNYA,
Menitis air mata tika merasa kemanisannya...
Semoga jalinan ini kekal dirahmati ALLAH...

Wednesday 23 September 2009

Cinta dan Rasulullah...

Duduk sebentar menekan kekunci komputer riba, membuatkan penulis terkenang sebentar perjuangan cinta si penulis. Cinta selalu dikaitkan dengan perasaan emosi yang terjalin atas keinginan yang mendesak jauh dari lubuk hati. Cinta boleh jadi penggalak, boleh juga jadi perosak. Cinta itu umpama bunga, cinta itu buta. Akibatnya, manusia mudah menurut kehendak nafsu, di tahap mana pun nafsu itu, sama ada lawwamah, muthmainnah, atau amarah, jika tidak dipandu dengan hati yang sihat. Hati yang mengenal hakikat sebenar cinta, hati yang mengenal betapa suburnya cinta dibajai dengan butir-butir rasa kehambaan.

Bahkan itu adalah senario normal untuk melihat berapa ramai jiwa-jiwa ternoda angkara hasutan nafsu, bersumberkan cinta tak mempunyai pemandu, hari ini. Berapa ramai anak muda yang terjerat dengan tipu daya dunia, lantaran tidak mengenal apa itu erti cinta yang sebenar. Kerana cinta itu, begitu banyak penafsirannya boleh kebanyakan orang. Tiada yang salah tentang penafsiran itu, tiada juga yang betul. Kerana sukar untuk menginterpretasi sesuatu yang bersifat abstrak, subjektif, maka interpretasi yang dibuat dilihat melalui sejauh mana sempurnanya penilaian ke atas cinta. Kerana cinta itu sentiasa berkembang, umpama air yang mengalir, memenuhi segenap ruang yang diliputi… Penulis cuba membawa diri kepada kesimpulan yang lebih mudah untuk menyatakan tentang hakikat cinta, dan kemanisan untuk mengenal cinta itu. Cinta itu adalah fitrah untuk setiap insan. Jadi manusia tidak jatuh cinta kepada sesiapa atau apa-apa pun, tidak juga keluar dari mana-mana kepompong cinta. Tapi manusia tumbuh dan besar di dalam lingkaran cinta.

Bagaimanapun, ada sesuatu yang membuatkan kita semua sepakat tentang cinta, termasuklah penulis. Bahawa cinta itu akan mengubah dunia kita menjadi lebih baik. Cinta mengajar kita menikmati setiap saat yang dilalui, walaupun dunia itu penat dan penuh dengan noda. Cinta mengajar kita untuk berlaku jujur dan berkorban, berjuang dan menerima, memberi dan mempertahankan. Suatu contoh yang amat baik untuk kita telusi, indahnya Taj Mahal terbina atas pasak cinta Shah Jahan terhadap permaisuri hatinya. Di setiap jengkal marmar yang terbina terpahat nama kekasih sang raja, terbangun kerana cinta. Kerana itu mungkin juga, boleh jadi kebarangkaliannya, bahawa setiap kisah besar dunia, jatuh mundur sebuah tamadun, semuanya didasari oleh CINTA.

Kerana itu, adalah penting untuk manusia menyedari tujuan cinta itu adalah kerana apa. Seringkali para sasterawan Arab suatu ketika Jahiliyyah menelan zaman kemanusiaan, menyelitkan unsur-unsur cinta dalam bait-bait syairnya. Karya-karya yang diangkat untuk digantung di dinding kaabah, semestinya didahului dengan unsur cinta sebagai muqaddimah syair. Bahkan kita sendiri mengetahui pengaruh cinta terhadap kehidupan. Hanya apabila kita dasarkan cinta itu kepada yang SATU, maka kita beroleh kebahagiaan sepanjang hayat. Dia yang Maha Kekal, tidak kekar dimamah usia, tidak terusik ditelan senja dunia.

Cinta adalah kaki-kaki yang melangkah membangun samudera kebaikan. Cinta adalah tangan-tangan yang meragut hamparan permadani kasih sayang. Cinta adalah hati yang selalu berharap dan mewujudkan dunia dan kehidupan yang lebih baik.
Dan Islam tidak saja mengagungkan cinta tapi memberikan contoh konkrit dalam kehidupan. melalui kehidupan manusia mulia, Rasulullah tercinta. Kisah ini penulis ambil dari link seorang sahabat. Buat tatapan mereka yang mengasihi insan mithali sepanjang zaman. Sayu sebentar…

“Pagi itu, meski langit telah mulai menguning,burung- burung gurun enggan mengepakkan sayap.. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan petua. "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua hal pada kalian, sunnah dan Al Qur'an. Barangsiapa mencintai sunnahku, berati mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan bersama-sama masuk surga bersama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang teduh menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan napas dan tangisnya. Ustman menghela napas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," desah hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir usai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan pantas menangkap Rasulullah yang lemah saat turun dari mimbar. Saat itu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu, kalau mampu. Matahari kian tinggi, tapi pintu Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membukakan mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayah, seperti ia baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap putrinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Satu-satu bagian wajahnya seolah hendak di kenang."Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut dating menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tak ikut menyertai. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. "Jibril, jelaskan apa hakku nanti dihadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah."Pintu- pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua surga terbuka lebar menanti kedatanganmu, " kata jibril. Tapi itu ternyata tak membuat Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan."Engkau tidak senang mendengar kabar ini?" Tanya Jibril lagi."Kabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan surga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril. Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik Tampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh,urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril membuang muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengeluh, karana sakit yang tak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. " Peliharalah shalat dan santuni orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telingan ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. Ummatii, ummatii, ummatiii" Dan, pupuslah kembang hidup manusia mulia itu. Kini, mampukah kita mencinta sepertinya?”.

Persoalannya, mampukah kita membalas cinta Nabi yang mencintai kita umatnya, sepenuh jiwa dan raga? Apakah dengan hanya menyambut Maulidur Rasul, atau mendendangkan selawat di majlis-majlis keramaian, sudah cukup untuk membuktikan cinta kita juga sebanding dengan cinta Rasul terhadap kita? Adakah itu cukup, sedangkan kita nafikan segala ajaran Nabi, dengan menyangkal hikmah I sebalik sunnahnya? Allah sudah menggariskan dengan jelas di dalam firmanNYA:
“Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi ALLAH, maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu, serta mengampunkan dosa-dosa kamu.” Surah ali-Imraan:31

Salam Eid al-Mubarak

1 Syawal, 12.42 p.m.

Hari ini hari pertama aidil fitri. Usai pulang dari masjid, aku terus membentang tikar-tikar di ruang tamu. Nak buat tahlil mak kata, dan memang sudah menjadi kebiasaan keluarga setiap kali selepas Syawal, pasti berkumpul untuk bertahlil, untuk arwah atuk, permintaan nenek. Entah bagaimana rupanya atuk ya…baik budinya, lemah pekertinya, sehinggakan nenek tak pernah lupa akan atuk. Rasa rugi tak berkesempatan bertemu dengan atuk, lahirnya aku apabila atuk dah tiada. Betapa untungnya atuk punya isteri yang solehah…

Kami menanti semua berkumpul di rumah. Keluarga Cik Yatin, Wak Supar, Wak Long, semuanya sudah ada. Sedikit terkilan kerana semua tak dapat berkumpul seperti tahun-tahun yang lalu kali ini. Yang pasti, rasa kehangatan kasih sebuah keluarga bila semua dapat berkumpul sama-sama, bukan selalu ada peluang ini, sekali setahun. Terdengar sayup suara ayah mengalunkan zikir, kami mengikuti…

Usai, aku mengambil kesempatan bermaaf-maafan. Sayu rasanya mendengar luahan nenek sebentar tadi. Walaupun tidak seratus peratus difahami kerana diucapkan dalam dialek Jawa, tapi aku tetap memahami dari riak hiba nenek.

Nenek hidup dah tak lama, sekejap je lagi. Nenek berharap sangat suasana macam ini sentiasa. Mengenangkan masa-masa hidup Mbah San Rais (atuk), dulu, nenek rasa semakin hampir, dengan ajalNYA…”.

Pilu sebentar suasana. Sebak dada, melihat air mata merembas deras dari pelupuk mata nenek. Lantas kami menghampiri nenek seorang demi seorang, memohon ampun dan maaf. Sampai giliran aku…

Mbah, kita minta maaf. Selalu buat mbah marah, kadang-kadang tak dengar kata mbah…”.

Sebak suasana…aku menangis. Lepas mbah, ayah dan mak pula aku rangkul. Bukan selalu dapat suasana macam ni. Bila terasa, keikhlasan itu lebih terpancar. Aku sedar, umur hanyalah angka. Ajal maut di tangan TUHAN, kita tak tahu bila masanya akan tiba. Tak semestinya menjangkau umur 60 tahun barulah kita pasti akan mati. Bukankan sebentar sahaja lagi pun menjadi satu kebarangkalian, jika ALLAH menghendakinya?

Ampun dan maaf, mak, ayah, semua…

Sebentar kemudian, ada mesej aku terima. Dari seorang sahabat…


Tatkala Ramadhan telah pergi

Qiam malam menjadi sepi

Membaca al-Quran terhenti

Istighfar dilupai

Doa-doa diabai

Moga-moga kita teruskan amalan soleh

Untuk bulan-bulan yang lain

Hadirnya Syawal menandakan kita kembali kepada fitrah

Yakni suci bersih

Jangan kita kotorinya lagi dengan dosa-dosa…”


Sejenak hati beristighfar…astaghfirullah. Terima kasih sahabat atas peringatan itu....terima kasih. Buat sahabat-sahabat, selamat bergraduasi dari madrasah taqwa Ramadhan. Tahniah bagi graduan-graduan anugerah dekan, juga yang lain. Semoga bulan-bulan mendatang jadi medan berguna buat kita beristiqomah dengan amalan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin…


"كل عام و أنتم بخير, عيد سعيد"