Friday 20 November 2009

Memori Nuqaba' Senior KMS...

Masa menghitung usia yang berbaki di Kolej MARA Seremban. Sedar tak sedar, sudah semester ketiga rupanya kami di batch 9 A-level. Alhamdulillah...banyak kenangan memugar tinta pengalaman yang masih cetek. Pahit atau manis, kehidupan bersama sahabat menceriakan lagi suasana, melata di bumi TUHAN. Entah bila lagi kenangan itu akan dapat diulang kembali...

Sedikit masa lagi, pelajar-pelajar fast track akan berlepas ke destinasi pengajian, Australia atau New Zealand. Di antara mereka, adalah para-para du'ah yang turut sama berjuang di medan dakwah. ALLAH, rasa sedikit hiba mengenang perpisahan yang bakal menjelma. Namun aku akur, setiap pertemuan menjanjikan perpisahan, dan setiap perpisahan pasti mengemis sedikit rembasan air mata. Bezanya, titik pertemuan ini adalah kerana kita berada di landasan yang sama, dan insyaALLAH selagi nafas masih mampu dihela, perjuangan akan diteruskan. Kata Imam Hassan al-Banna, tiada kerehatan bagi seorang pejuang melainkan mati.

Kata Ustaz Sofi, tujuh golongan yang yang mendapat perlindungan arasy TUHAN di hari kiamat nanti, antaranya ialah dua remaja yang bersahabat, bertemu keranaNYA, berpisah pun keranaNYA. Teringat hadith ini ketika aku masih di tingkatan 4, Ustaz Turijan beria-ia menerangkan di hadapan kelas untuk subjek Hadith. Cuma aku yang masih berjiwa remaja ketika itu, tersengguk-sengguk menahan beratnya kelopak mata gara-gara lambat lena malam itu. Hm...kini terasa juga benarnya ungkapan itu, insyaALLAH. Mungkin kami berlainan benua, diteduh langit yang lain, berpijak di bumi yang lain, namun semua berpijak atas medan dakwah yang sama.

Memori ini akan terus segar di ingatan, sesegar nailofar menguntum senyuman dari kejauhan mentari Malaya...

Kenangan bersama para nuqaba'...

Belakang dari kiri: Akh Rahimi, Akh Azman, Akh Muhammad, Akh Abdul Qadir, Akh Khairullah, Akh Harith.
Tengah dari kiri: Akh Amjad, Akh Khairul Safwan, Ana, Akh Siddiq, Akh Faiz, Akh Hanifi
Depan Dari kiri: Akh Fikri, Akh Izzat, Akh Nik

Dedikasi ini khusus untuk bakal-bakal mahasiswa luar negara...akh Nik, akh Faiz, akh Hanifi, Akh Amjad, Akh Muhammad, serta semua para sahabat yang bakal berlepas tahun hadapan. Semoga perjalanan di sana lebih dirahmati ALLAH...




Jalinan antara kita terbina persis untaian tasbih,
Ada awal tiada penghujung,
Dibentuk untuk menginngatiNYA,
Dicantum kerana cintaNYA,
Diratib semata-mata kerana redhaNYA,
Menitis air mata tika merasa kemanisannya...
Semoga jalinan ini kekal dirahmati ALLAH...

No comments:

Post a Comment