Wednesday 23 September 2009

Salam Eid al-Mubarak

1 Syawal, 12.42 p.m.

Hari ini hari pertama aidil fitri. Usai pulang dari masjid, aku terus membentang tikar-tikar di ruang tamu. Nak buat tahlil mak kata, dan memang sudah menjadi kebiasaan keluarga setiap kali selepas Syawal, pasti berkumpul untuk bertahlil, untuk arwah atuk, permintaan nenek. Entah bagaimana rupanya atuk ya…baik budinya, lemah pekertinya, sehinggakan nenek tak pernah lupa akan atuk. Rasa rugi tak berkesempatan bertemu dengan atuk, lahirnya aku apabila atuk dah tiada. Betapa untungnya atuk punya isteri yang solehah…

Kami menanti semua berkumpul di rumah. Keluarga Cik Yatin, Wak Supar, Wak Long, semuanya sudah ada. Sedikit terkilan kerana semua tak dapat berkumpul seperti tahun-tahun yang lalu kali ini. Yang pasti, rasa kehangatan kasih sebuah keluarga bila semua dapat berkumpul sama-sama, bukan selalu ada peluang ini, sekali setahun. Terdengar sayup suara ayah mengalunkan zikir, kami mengikuti…

Usai, aku mengambil kesempatan bermaaf-maafan. Sayu rasanya mendengar luahan nenek sebentar tadi. Walaupun tidak seratus peratus difahami kerana diucapkan dalam dialek Jawa, tapi aku tetap memahami dari riak hiba nenek.

Nenek hidup dah tak lama, sekejap je lagi. Nenek berharap sangat suasana macam ini sentiasa. Mengenangkan masa-masa hidup Mbah San Rais (atuk), dulu, nenek rasa semakin hampir, dengan ajalNYA…”.

Pilu sebentar suasana. Sebak dada, melihat air mata merembas deras dari pelupuk mata nenek. Lantas kami menghampiri nenek seorang demi seorang, memohon ampun dan maaf. Sampai giliran aku…

Mbah, kita minta maaf. Selalu buat mbah marah, kadang-kadang tak dengar kata mbah…”.

Sebak suasana…aku menangis. Lepas mbah, ayah dan mak pula aku rangkul. Bukan selalu dapat suasana macam ni. Bila terasa, keikhlasan itu lebih terpancar. Aku sedar, umur hanyalah angka. Ajal maut di tangan TUHAN, kita tak tahu bila masanya akan tiba. Tak semestinya menjangkau umur 60 tahun barulah kita pasti akan mati. Bukankan sebentar sahaja lagi pun menjadi satu kebarangkalian, jika ALLAH menghendakinya?

Ampun dan maaf, mak, ayah, semua…

Sebentar kemudian, ada mesej aku terima. Dari seorang sahabat…


Tatkala Ramadhan telah pergi

Qiam malam menjadi sepi

Membaca al-Quran terhenti

Istighfar dilupai

Doa-doa diabai

Moga-moga kita teruskan amalan soleh

Untuk bulan-bulan yang lain

Hadirnya Syawal menandakan kita kembali kepada fitrah

Yakni suci bersih

Jangan kita kotorinya lagi dengan dosa-dosa…”


Sejenak hati beristighfar…astaghfirullah. Terima kasih sahabat atas peringatan itu....terima kasih. Buat sahabat-sahabat, selamat bergraduasi dari madrasah taqwa Ramadhan. Tahniah bagi graduan-graduan anugerah dekan, juga yang lain. Semoga bulan-bulan mendatang jadi medan berguna buat kita beristiqomah dengan amalan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin…


"كل عام و أنتم بخير, عيد سعيد"

No comments:

Post a Comment