Friday 11 September 2009

Ilmu dan hati...


Akhir-akhir ini penulis lebih banyak terfikir tentang bagaimana penulis mengolah kehidupan sendiri sebagai hamba ALLAH, Tuhan yang tiada selainNYA memancarkan rahmat seluas hamparan samudera. Kadang-kadang terfikir kembali, bagaimana menjaga hubungan dengan TUHAN, dan juga hubungan sesama manusia. Ketika ini, penulis sedang sibuk menekan kekunci komputer riba sambil membelek sebuah buku, hadiah tinta Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Memang falsafah dan kata-kata hikmah daripadanya benar-benar mengetuk pemikiran penulis untuk berfikir lebih jauh, tentang bagaimana kita harus mengutamakan keseimbangan di antara dunia dan akhirat, sambil mendapat keredhaan ALLAH.

Penulis begitu tersentuh mendengarkan kata-katanya, sesiapa yang mencari dunia untuk dunia, dia akan meninggalkannya dengan hembusan nafasnya yang terakhir, dengan detik-detik yang menakutkan. Ya TUHAN, jauhkanlah aku dari kemanisan dunia yang melalaikan, andai itu hanya mengundang kemurkaanMU, serta membawa aku jauh dari jalanMU. Ini membuat penulis terfikir juga wahai sahabat, kata-kata seorang ulama’ salaf, ‘Aun bin Abdullah:

Dunia dan akhirat didalam hati bagaikan dua sisi timbangan. Jika salah satunya lebih berat, sisi yang lainnya akan lebih ringan.”

(Tazkiyatun Nufus, 129)

Hm…kerana itu penulis merasakan bahawa betapa pentingnya untuk kita menghidupkan jiwa kita dengan santapan rohani. Betapa sekecil-kecil halaqah sehinggalah ke majlis ilmu yang besar, jiwa kita seolah-olah merasa disentuh, lantaran sudah biasa dengan kelalaian dan permainan dunia. Halaqah yang bersifat muzakarah dan munaqasyah membantu kita menyelami jiwa spiritual dan keperluannya, untuk kita memahami keperluan psikologi setiap hambaNYA, supaya kita sedar betapa kita perlukan PENCIPTA…itu adalah fitrah. Apa yang penulis cuba bangkitkan ialah, bagaimana kita menerima ilmu yang kita timba, serta mempenetrasikannya berdasarkan keadaan semasa. Penulis kerap berdiskusi dengan asaatizah lama, dan penulis terkenang akan salah satu dialog yang menyentuh jiwa. Kata seorang mu’allimah penulis:

Apabila kita menghadirkan diri kita ke mana-mana majlis ilmu hadirkanlah diri kita dengan sepenuh kehadiran, lantas apa yang kita dengar insyaALLAH kita akan menerimanya dengan sepenuh hati, terpahat di minda, terpaut di hati, seterusnya diganjar TUHAN…”

“Tapi ustazah, macam mana kita nak mengelakkan rasa besar diri ketika datang ke majlis ilmu??? Kadang-kadang kita merasakan bahawa orang yang menyampaikan ilmu itu tak lebih ilmunya dari kita, lalu terlintas di dalam hati kita yang kita jauh lebih baik dari si penyampai tu…”

“Situasi itu memang selalu berlaku, buat mereka-mereka yang tak pernah menghargai dan mengetahui nilai sebenar ilmu tu. Kerana itu, ana kalau datang ke majlis ilmu, ana akan datang dengan sepenuh hati, umpama ana datang membawa satu gelas kosong, apabila ana pulang dari majlis itu, ana akan pastikan gelas itu penuh, maka ana boleh minum air di dalamnya, merasa kelazatan nikmat air tersebut…bukankah Sayyidina Umar al-Khattab pernah berpesan:

أنظر ما قال , ولا تنظر من قال

Maksudnya : Lihatlah pada apa yang diperkatakan, janganlah lihat kepada siapa yang menyampaikan”

Maka itu, ikhlaskanlah hati kita setiap kali kita menuntut ilmu. Kerana ilmu ALLAH itu luas, dan bukan semua yang disampaikan itu kita tahu semuanya…”

Maka itu, hati-hati kita ini akan sentiasa tenteram, kerana penawar hati adalah takwa, dan sumber takwa ialah mengingati ALLAH. Maka dengan zikrullah, kita mengenal hakikat pencipta kita, lantas kita tunduk merendahkan hati, rebah dengan untaian tasbih, kala bibir basah dengan kalimah ALLAH.

Firman Allah S.W.T:

Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan daripada ALLAH serta keredhaanNYA. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.” (Surah al-Hadid:20)

No comments:

Post a Comment