Wednesday 23 September 2009

Selamat Tinggal...Ramadhan

30 Ramadhan, 11.30 p.m.

Baru sahaja mengkhatamkan al-Quran. 30 juzu’. Alhamdulillah, satu ibadah dapat disempurnakan. Hati aku terasa sedikit tenang dapat bernafas sepanjang Ramadhan kali ini, tapi sedikit terkilan kerana akan meninggalkan bulan yang di dalamnya ganjaran ALLAH berlipat kali ganda sehingga 70 kali. Takut aku tidak mendapat maghfirah darinya, maka diri ini yang berdosa…teringat sabda Nabi S.A.W.A.W:

"من أدرك رمضان و لم يغفر فيه فمات مثل ذلك دخل النار"

Mafhumnya : Barangsiapa yang mendapati bulan Ramdhan, tapi tidak

diampuni di dalamnya, kemudian dia mati sedemikian maka masuklah ia ke neraka.

Ya ALLAH, aku takut diri ini tergolong dalam golongan itu Ya TUHAN. Takut diri ini lalai dalam belenggu dosaMU tika masa aku tidak mengingatiMU. Takut aku terlupa mengenang nikmatMU lantaran leka dengan kemanisan dunia…ampunkan aku Ya ALLAH…

Aku takut aku tidak layak bergelar graduan madrasah taqwa ini YA ALLAH…Sekiranya mahasiswa-mahasiswa mana-mana universiti pun di dunia ini terkejar-kejar anugerah dekan atau anugerah kelas pertama, bagaimana pula ketika ini di madrasah taqwa…?

Selamat tinggal Ramadhan, semoga kita dipertemukan lagi tahun hadapan. Ku pohon diberi kesempatan untuk bertemu denganmu lagi.

"أللهم بلّغنا رمضان الأتية...

أللهم بلّغنا رمضان الأتية…

أللهم بلّغنا رمضان الأتية..."

Ramadhan, bulan dinanti-nanti…

Ketibaanmu dirai,

Pemergianmu ditangisi…

Mengharap ganjaran TUHAN seluas langit

Dan bumi

Buat umat ini, diri ini…

Hm…purnama Syawal sudah mula menjengukkan diri. Persiapan sudah hampir siap. Rumah pun sudah hampir sepenuhnya berkemas, cuma langsir rumah belum bertukar. Kuih-kuih pun sudah siap, sedia untuk dihidang. Teringat pesan mak pagi tadi supaya menyiapkan semuanya pagi esok…ya, pagi esok. Pagi terakhir aku bersahur. Pagi terakhir juga aku berpuasa. Pagi terakhir juga bernafas dengan menyedut segala nikmat Ramadhan…aku harapkan ibadah malam tadi cukup untuk diriku, walaupun aku tahu itu tak mencukupi untuk menebus dosa dan nikmat yang TUHAN berikan.

“Sekadar yang termampu,”pesan sahabatku ketika sama-sama berbuka, tepat 1 Ramadahan.

“Yang penting ikhlas, biar TUHAN nampak keikhlasan itu”.

Kadang-kadang keikhlasan kita itu ALLAH uji. Godaan nafsu datang bertubi-tubi. Fikiran teralih memikirkan perkara-perkara lagho, semuanya tak lain tak bukan untuk melihat sejauh mana keikhlasan yang ditanam. Bangun pagi untuk bersahur sahaja sudah berat dengan ujian…jika kita sedar yang ALLAH melimpahkan kasih sayangNYA dengam mengizinkan kita terjaga pagi itu, apa salahnya kalau kita penuhi pagi itu dengan zikrullah, sebagai tanda kita bersyukur…???

Nikmat malam itu manis,

Basah bibir memuji ALLAH

Berbekas dahi berteleku di hamparan sejadah…

Tapi pagi itu sudah berlalu. Ramadhan sudah hampir berlalu. Kadang-kadang ada sahaja persoalan yang berlegar, kalau bulan Ramadhan setiap pagi boleh bangun untuk beribadah, kenapa tidak di bulan-bulan lain? Adakah kita menyembah ALLAH, atau menyembah Ramadhan? Maka hati ini cuba mengikhlaskan diri untuk semua perkara…Ya ALLAH, jauhkan aku dari segala godaan nafsu…kuatkan iman hambaMU ini, supaya mungkar itu keras-keras aku tegah, supaya amalan khoirot itu segera-segera aku amal…

Kelakar…blog ialah tempat untuk aku meluah perasaan, blog juga tempat untuk aku meluah buah fikiran. Blog umpama sebuah diari, bezanya ia seolah-olah menjadi tatapan umum, tapi lebih kepada maksud untuk berkongsi. Buat tazkiyatun nafs bersama mufakkirin lain…terima kasih buat sahabat yang sentiasa memberi sokongan…

No comments:

Post a Comment