Wednesday 2 December 2009

Pintu Taubat Datang dari Hati…

Penulis masih ingat, ketika kami berhalaqah ketika usrah perdana, satu persoalan timbul berkaitan dengan taubat. Persoalan ini ditimbulkan oleh salah seorang mufakkir, maka kami asyik di dalam rantaian hikmah ketika sama-sama dalam pengembaraan diskusi ilmiah.

Taubat lebih dikenali umum dengan definisi memohon maghfirah daripada ALLAH. Setiap kali manusia melakukan dosa, adalah dituntut untuk memohon keampunan. Abul-Laits as-Samarqandi berkata:

"Dosa ada dua jenis, iaitu dosa antara kamu kepada TUHAN, dan dosa sesama makhluk. Dosa antara kamu dengan Allah terlepas dengan tiga syarat taubat iaitu menyesal dalam hati; niat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah.

Sesiapa yang melakukan tiga syarat itu, Allah ampun dosanya sebelum ia bangun dari tempat duduknya, kecuali jika ia meninggalkan fardu diwajibkan Allah.

Selepas ia menunaikan fardu diperintah lalu menyesal dan beristighfar, Allah mengampunkan. Namun jika dosa kamu sesama manusia, selagi mereka tidak memaafkan atau menghalalkannya, tidak berguna taubat bagimu.

                                (Sumber, Tanbihul Ghafilin)

Namun, mustahil untuk kita mengetahui sama ada taubat kita diterim atau tidak, mengingatkan bahawa itu adalah urusan TUHAN. Jika kita benar-benar menyesal dalam hati, berniat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah, berbekalkan hati yang ikhlas, nasuha dan istiqomah, insyaALLAH taubat kita diterima.

Ibnul Qayyim rahimahullah telah menjelaskan, tanda-tanda taubat telah diterima TUHAN:

"Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)

Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin". (At-Taubah, 9:112)

"Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama".

Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

"Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun". (Maryam, 19:60)

"Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar". (An-Nisa, 4:146)

Di akhir majlis, masing-masing berpuas hati dengan kupasan perbincangan pada ketika itu. Setiap ilmu adalah cahaya, maka yang menerangi hidup kita tak cukup sekadar cahaya yang malap. Itu mengingatkan penulis, perjuangan mencari ilmu masih panjang merentas masa. Untuk itu juga penulis sentiasa beringat untuk melafazkan taubat…

Kita hamba ALLAH berjalan mengenal hakikatNYA atas 4 cabang. Fikir atas jalan syariat, zikir atas jalan tariqat, sabar atas jalan hakikat, dan syukur atas jalan makrifat…


 

No comments:

Post a Comment